PUTRAJAYA: Bakal jemaah haji yang tidak terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu berikutan pengurangan kuota oleh Arab Saudi, dinasihatkan tidak terlalu sedih kerana ia berkait dengan syarat kemampuan dalam melaksanakan ibadat tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, walaupun jemaah tidak boleh pergi menunaikan haji kerana ada peraturan-peraturan menetapkan sebegitu, Allah SWT tetap memberikan ganjaran pahala.
Kata beliau, ia seumpama orang yang sering beribadah seperti berjemaah di masjid, namun ditimpa ujian kerana terlantar sakit, maka dia tetap boleh pahala sepertimana dia sihat selalu pergi solat.
“Pastinya semua sedih tak dapat pergi Mekah di mana tempat yang semua orang nak pergi, tempat doa Nabi Ibrahim as dimakbulkan. Semua orang teringin nak pergi.
“Dalam Islam, Nabi SAW pernah ditanya adakah haji setiap tahun ini wajib, nabi jawab, kalau setiap tahun (pasti) menyusahkan kamu.
“Kedua, syarat untuk menunaikan haji adalah kemampuan. Walaupun kita ada duit, sihat tubuh badan, kadangkala perjalanan nak ke Mekah tak selamat sama ada jalan darat atau laut, maka kita tidak berdosa.
“Yang salah ialah ada kemampuan, ada kesihatan dan boleh pergi, tiba-tiba kita tak nak pergi,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis taklimat umum dan Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Semalam, beliau mengumumkan kuota rasmi haji untuk Malaysia pada musim tahun ini berjumlah 14,306 ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.
Jumlah tersebut mewakili 45 peratus daripada kuota rasmi diperoleh negara mulai 2020 lalu sebanyak 31,600 jemaah berbanding tahun sebelumnya cuma 30,200 jemaah.
Idris berkata, antara sebab mengapa Kerajaan Arab Saudi lambat mengumumkan kuota haji pada tahun ini adalah atas dasar mengambil perkiraan kepada perkara melibatkan suasana kesihatan dan penempatan dalam tempoh peralihan ke fasa endemik Covid-19.
“Saya yakin mereka lebih arif dalam menentukan polisi mengehadkan kuota seluruh dunia. Dahulu berjumlah 2.5 juta, tetapi tahun ini had satu juta sahaja. Bagaimanapun, kita tetap bersyukur kerana sudah dua tahun jemaah tidak dapat menunaikan haji,” katanya. – UTUSAN