TAPAH: Seorang guru besar tidak menyangka rak buku yang menempatkan naskhah al-Quran dan tafsir tidak ‘dijamah’ api meskipun bilik pusat sumber di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al Rahmaniah di Kampung Datok di sini, terbakar semalam.
Guru besarnya, Khairiyah Othman berkata, dia terkejut melihat kesemua 50 naskhah al-Quran dan tafsir di dalam bilik itu berada dalam keadaan baik dan tersusun rapi berbanding buku lain.
Katanya, naskhah baharu dan lama itu diletakkan di pusat sumber tersebut sebagai bahan mengajar dan bacaan serta rujukan kepada guru dan murid.
“Saya terkejut apabila melihat kesemua naskhah al-Quran dan tafsir berada dalam keadaan baik berbanding buku-buku agama yang dijadikan rujukan mengajar.
“Kebakaran sekitar pukul 10.30 malam itu bukan sahaja memusnahkan bilik pusat sumber, malah ruang pejabat juga terjejas di mana dokumen sekolah, data murid dan komputer musnah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Khairiyah berkata, tindakan pantas pasukan bomba yang dihubungi oleh penduduk kampung memadamkan kebakaran daripada merebak ke kawasan lain.
“Kebakaran ini juga menyebabkan tandas, bilik mesyuarat dan kelas masing-masing mengalami kerosakan lebih 40 peratus di bahagian bumbung dan tingkap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, Nadzri Che Nordin berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 11.06 malam.
Katanya, sepasukan 22 anggota dari BBP Tapah dan bantuan BBP Bidor ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Kebakaran melibatkan aras satu bangunan sekolah yang menempatkan pejabat, pusat sumber, kelas, tandas dan bilik mesyuarat.
“Siasatan awal mendapati, kebakaran bermula dari ruang pejabat sebelum merebak ke bilik berhampiran. Punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN