Guna TikTok sebar mesej jenayah penipuan dalam talian - Utusan Malaysia

Guna TikTok sebar mesej jenayah penipuan dalam talian

MIOR Faridalathrash Wahid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak akan menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium untuk menyampaikan maklumat dan mesej berkaitan jenayah penipuan dalam talian kepada orang ramai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, usaha itu bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat yang dilihat masih menjadi mangsa jenayah siber meskipun pelbagai kempen dilaksanakan pihak berkuasa.

Katanya, dalam kebanyakan kes, mangsa terpedaya dengan helah, sedangkan agensi kerajaan tidak berurusan dengan orang awam melalui panggilan telefon, apatah lagi menggunakan telefon bimbit.

“Sekarang, kita dapati platform terbaik adalah penggunaan TikTok. Aplikasi ini bukan orang muda sahaja guna, malah menarik minat mereka yang berusia. Ia menyampaikan mesej dalam masa yang singkat namun berkesan.

“Mungkin kita akan bekerjasama dengan bank-bank tempatan, di mana kita buka peraduan agar orang ramai dapat memberi idea bernas dalam kita mendidik masyarakat supaya tidak lagi menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak bersama institusi kewangan negeri Perak di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor dan Pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia negeri Perak, Datin Munirah Che Ros.

Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber turut dilakukan menerusi ceramah di masjid pada setiap Jumaat.

Katanya, inisiatif itu telah dilaksanakan di seluruh negeri sejak awal tahun ini.

“Hari-hari kita berkempen, beri kesedaran tetapi masih ada lagi mangsa terpedaya dengan ‘scammer‘. Di perak kita buat pelbagai inisiatif termasuk program bersama masjid di mana Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai akan turun ke masjid-masjid menyampaikan maklumat. Melalui usaha itu, kita berharap, modus operandi jenayah siber ini dapat dikongsikan kepada keluarga, sahabat dan rakan pejabat agar tiada lagi yang menjadi mangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN