KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada pemilihan parti itu Mei depan.
Selain itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Ketua Cabang PKR Petaling Jaya.

Mohd. Fakhrulrazi berkata, hasrat utamanya mahu membangkitkan semula semangat reformasi dan mengukuhkan parti berkenaan.
“Biarpun menyertai PKR hampir dua tahun, saya yakin parti ini amat unik dan bersikap terbuka selain mementingkan prestasi serta kelayakan dalam politik.
“Selain mahu menguatkan parti dengan semangat Reformasi, saya menyokong sepenuhnya institusi presiden yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, hari ini.
Jelas beliau, keputusan untuk bertanding itu dibuat selepas mendengar pandangan semua pihak sama ada di peringkat Cabang, negeri dan pusat.
“Saya menawarkan diri sebagai calon Cabang PKR Petaling Jaya kerana yakin dengan permintaan banyak pihak terutama akar umbi di kawasan itu.
“Namun, saya tetap akan memfokuskan tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat di Meru serta terus menggalasnya sebaik mungkin,” ujarnya.
Tambah beliau, Pemilihan PKR kali ini diharap melahirkan pemimpin yang mahu menyumbang bakti dan mengukuhkan parti namun bukannya kerana nafsu atau kepentingan peribadi semata-mata.
Jumaat lalu, ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi turut menawarkan diri sebagai calon MPP dan Timbalan Ketua Cabang PKR Shah Alam. – UTUSAN