PETALING JAYA: Enam ahli sindiket pengedaran dadah yang mensasarkan pelanggan hotel dan pusat hiburan tumpas dalam serbuan Op Gaston pada 14 dan 15 April lalu.
Kesemua suspek berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di kawasan kondominium serta pangsapuri di sekitar Lembah Klang pada 9 malam hingga 5 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Jasmirol Jamaluddin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 3.2 kilogram (kg), heroin (8.4 kg), ganja (10.8 kg), pil erimin 5 (3,150 biji atau 0.9 kg) dan ketamin (365 gram).
“Keseluruhan dadah yang boleh dibekalkan kepada 48,594 penagih itu dianggarkan bernilai RM386,757. Selain itu, wang tunai berjumlah RM2,780 turut disita.
“Sindiket itu dipercayai mendapat bekalan dadah di sekitar Lembah Klang sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pelanggan tetap sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jasmirol berkata, enam individu yang ditahan itu termasuk dalang sindiket berkenaan yang juga seorang lelaki berusia 43 tahun.
Ujar beliau, modus operandi sindiket ini adalah menjual beberapa jenis dadah berkenaan secara kecil-kecilan kepada pelanggan tetap mereka di tepi jalan, hotel bajet serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.
“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati empat daripada enam suspek berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.
Semakan dilakukan mendapati tiga daripada mereka turut memiliki rekod jenayah,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN