KEPALA BATAS: Sebanyak empat buah rumah penduduk musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Muda, Penaga dekat sini hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.49 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran membabitkan empat rumah kelas B yang terletak bersebelahan yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 56 meter persegi.
“Peratusan kebakaran keseluruhan adalah dianggarkan 80 peratus dan api telah dapat dikawal pukul 7.18 pagi.
“Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman masih dijalankan dengan dibantu oleh pasukan bomba sukarela berdekatan. Tiada mangsa yang dilaporkan terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Operasi itu membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda; Kepala Batas dan Bertam. – UTUSAN










