Dua remaja nyaris maut, kereta rempuh pembahagi jalan

Dua remaja nyaris maut, kereta rempuh pembahagi jalan

SEBUAH Proton X50 terbabas dan melanggar pengadang jalan menyebabkan dua daripada empat penumpang nyaris maut dalam kemalangan di KM12.3 Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam Selangor, tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua  remaja nyaris maut selepas kereta Proton X50 dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer (KM) 12.3 Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang, tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kereta tersebut yang dipandu remaja berusia 17 tahun turut dinaiki tiga remaja lain berumur 16, 17 dan 18 tahun.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.49 tengah malam sebelum pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ke tempat kejadian.

“Kemalangan menyebabkan dua mangsa berusia 17 tahun iaitu pemandu dan penumpang tersepit di tempat duduk hadapan.

“Dua lagi penumpang berusia 16 dan 18 tahun di bahagian belakang tidak mengalami kecederaan. Mangsa yang tersepit dikeluarkan pasukan bomba dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu, menurut saksi, kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu remaja terbabit hendak menukar lorong dari kanan ke tengah bagi memberi laluan kepada kenderaan dari arah belakang.

“Semasa menukar laluan, kereta milik bapa pemandu terbabit berpusing dan terbabas dan melanggar penghadang di sebelah kiri jalan,” jelasnya.

Tambahnya, pemandu mempunyai lesen memandu dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tidak cermat serta tidak bertimbang rasa.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd. Zulkifli Razak di talian 019-4475767. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN