KUALA NERUS: Gara-gara berlumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya ketika umat Islam bertarawih, dua pelajar ditahan di Kampung Padang Kemunting di sini semalam.
Kedua-duanya yang berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan polis dalam rondaan di sekitar kawasan Bandar Baharu Kuala Nerus kira-kira pukul 9.06 malam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, sebelum kejadian suspek dikesan berlumba sesama sendiri dan menunggang secara zig-zag sejauh 700 meter menghala ke Kampung Padang Kemunting.
Katanya, kedua-dua mereka kemudian diekori dan ditahan selepas berhenti di balai raya kampung berkenaan.
“Sehubungan itu, polis menyita dua motosikal Honda EX5 ditunggang suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ismail berkata, dalam operasi berasingan di Kuala Terengganu, seorang lagi remaja berusia 17 tahun ditahan kerana melakukan aksi Superman secara berulang kali sejauh 600 meter pada pukul 2.45 pagi. – UTUSAN










