Dua maut dalam nahas berasingan - Utusan Malaysia

Dua maut dalam nahas berasingan

KEADAAN dua kereta yang remuk setelah bertembung di Kilometer 60, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Bidor semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan di sini semalam iaitu di Kilometer 60, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dan Kilometer 347, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

Dalam nahas pertama pada pukul 4.25 petang, mangsa, M. Muthukumaran, 50, yang dalam perjalanan pulang dari Majlis Daerah Tapah ke rumahnya di Bidor, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, nahas itu membabitkan kereta jenis Toyota Corolla dinaiki mangsa bersama dua rakan dengan sebuah Perodua Viva dipandu lelaki berusia 40 tahun.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu tentera itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.

“Nahas itu mengakibatkan pemandu kedua-dua kereta dan dua penumpang cedera parah. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, Muthukumaran yang duduk di bahagian penumpang hadapan Toyota Corolla itu disahkan meninggal dunia pada pukul 8.50 malam ketika rawatan,” katanya di sini hari ini.

Wan Azharuddin memberitahu, kemalangan kedua pada pukul 6.55 petang pula membabitkan sebuah kereta Toyota Vios dan motosikal jenis Honda RS.

Katanya, mangsa, Mohd. Burhanuddin Mohd. Sargi, 36, ketika itu menunggang motosikal dari arah Kuala Lumpur ke Kedah.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa yang berada di lorong kiri terbabas sendiri sebelum menggelongsor ke laluan kereta dipandu wanita berusia 28 tahun, di lorong kanan.

“Mangsa yang patah tulang pinggul dan patah paha kanan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.50 malam di Hospital Tapah ketika menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kenderaan terlibat nahas itu disita untuk pemeriksaan Puspakom dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya