MERSING: Dua lagi penyelam Eropah yang hilang ketika melakukan aktiviti selam skuba berhampiran Pulau Tokong Sanggol, di sini ditemukan selamat kira-kira pukul 1 pagi ini.
Mangsa adalah warga British, Adrian Peter Chesters, 46, dan remaja Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, yang ditemukan nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, mangsa yang hanyut sejak 6 April lalu itu dijumpai di perairan Selatan Pengerang, dekat sini berhampiran sempadan Indonesia.
“Kedua-duanya ditemukan selamat oleh nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan sebelum segera menghubungi polis.
“Mangsa kemudian diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan dihantar ke darat dan kini berada di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, hari ini.

Cyril Edrward berkata, kedua-dua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kata beliau, seorang lagi mangsa warga Belanda, Nathen Renze, 14, yang juga anak kepada Adrian Peter belum ditemukan dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan.
“Kawasan pencarian juga diubah sebaik sahaja maklumat berhubung penemuan dua mangsa itu diterima. Kita bergerak ke bahagian Selatan dengan pihak Indonesia dan Singapura juga telah dimaklumkan berkenaan perubahan grid pencarian itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, operasi yang memasuki hari keempat hari ini masih mengekalkan anggota dan aset yang sama.
“Susulan penemuan dua mangsa ini kita ubah sektor pencarian dengan menumpukan Tenggara Johor ke Selatan Pengerang. Kita akan gerakkan aset ke sana dan buat hebahan kepada kapal dagang serta bot nelayan jika ada sebarang penemuan agar maklumkan dengan segera,” katanya. – UTUSAN