ALOR SETAR: Polis masih memburu dua lagi dalang yang dipercayai mencetuskan rusuhan sebelum tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, di sini pada 20 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, dua dalang tersebut merupakan antara seramai 61 tahanan Rohingya yang masih bebas setakat pagi, hari ini.
Menurutnya, dua dalang tersebut ialah Muhammad Salim Nur Amin, 21, dan Mohd. Yunus, 44.
Katanya, pada 21 April lagi, polis berjaya menahan dua dalang termasuk dalang utama dalam kejadian tersebut iaitu Nur Karim Shir, 34, manakala seorang lagi adalah Mohamad Ali, 30.
“Polis masih giat memburu dua dalang yang masih bebas itu serta baki tahanan-tahanan lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian tersebut, seramai 528 tahanan di depot tersebut merusuh dan melarikan diri kira-kira pukul 4.30 pagi.
Enam tahanan yang melarikan diri itu termasuk dua kanak-kanak, turut maut selepas dirempuh kereta jenis Toyota Vios ketika mahu melintas jalan di KM 165 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang kira-kira pukul 6.50 pagi.
Baki tahanan yang masih bebas itu terdiri daripada 51 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Jumlah mereka yang telah diberkas semula pula seramai 467 orang iaitu terdiri daripada 243 lelaki dewasa, 91 wanita, 68 kanak-kanak dan 65 kanak-kanak perempuan.
Suresh Kumar memberitahu, polis masih menjalankan siasatan terhadap dua dalang yang ditahan sebelum ini untuk mengenal pasti punca rusuhan tersebut tercetus.
“Kes melibatkan dalang dalam kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai diminta memberi kerjasama melaporkan kepada pihak polis dan imigresen sekiranya mempunyai maklumat tempat baki tahanan Rohingya itu bersembunyi. – UTUSAN










