Dua beradik dicekup mencuri wang majikan

Dua beradik dicekup mencuri wang majikan

Rangka manusia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang pekerja tergamak mengajak adik kandungnya untuk mencuri wang jualan majikannya sendiri di sebuah pusat borong di Pasir Penambang di sini, kelmarin.

Dua lelaki berusia 23 dan 20 tahun itu dikatakan melarikan kira-kira RM10,000 selepas seorang daripadanya membuka pintu premis dengan anak kunci dan mengambil wang di laci kaunter.

Perbuatan tersebut bagaimanapun dibongkar apabila dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dicekup polis di sekitar daerah ini pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Ambia Nordin berkata, penahanan dilakukan hasil laporan penyelia pusat borong itu, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Katanya, perkara itu disedari wanita berkenaan selepas membuat semakan hasil jualan tiga hari premis berkenaan yang hilang.

“Hasil rakaman CCTV kemudian mendapati seorang suspek bertopi keledar memasuki premis itu lalu menuju ke kaunter tempat simpanan wang dan mencurinya.

“Selain faktor susuk tubuh, pengadu mengesyaki ia dilakukan seorang pekerjanya yang sebelum itu turut bertanyakan lokasi simpanan hasil jualan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ambia, hasil maklumat kemudian membawa kepada penahanan suspek utama di rumahnya di Bukit Belimbing, di sini.

“Suspek kemudian mengaku terlibat dalam kegiatan mencuri itu yang turut dibantu adik kandungnya. Kedua-dua lelaki itu ditahan dan mengaku wang curi berkenaan dibelanjakan untuk membeli tiga telefon bimbit,” ujarnya.

Tambah beliau, polis turut merampas wang tunai RM5,600, tiga telefon bimbit dan masing-masing satu helmet, jaket dan seluar.

“Semakan mendapati dua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan curi dan dadah pada 2018. Mereka direman empat hari sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN