Disyaki terima rasuah RM3,000, penolong juruukur bahan PBT direman - Utusan Malaysia

Disyaki terima rasuah RM3,000, penolong juruukur bahan PBT direman

SEORANG lelaki berusia 40 tahun yang juga seorang penolong juruukur bahan sebuah PBT direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada seorang individu lain pada Ogos 2019. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penolong juruukur bahan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menerima rasuah sebanyak RM3,000 pada Ogos 2019.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret, Intan Syafinaz Ros’lin di Mahkamah Majistret Khas Trafik Seremban di sini hari ini.

Intan Syafinaz membenarkan permohonan reman sehingga 13 April ini selepas dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim.

Menurut sumber, suspek lelaki yang sudah 18 tahun berkhidmat dengan PBT berkenaan ditahan pada pukul 3.30 petang semalam di Pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika hadir memberikan keterangan.

Katanya, suspek dipercayai menerima wang rasuah RM3,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan permohonan pelan ubah suai rumah tanpa melalui prosedur yang sah daripada PBT tempatnya bertugas pada Ogos 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN