DAWE Australia mulakan siasatan isu keraguan halal - Utusan Malaysia

DAWE Australia mulakan siasatan isu keraguan halal

daging australia
Malaysia perlu menubuhkan rumah sembelih sendiri di luar negara bagi memastikan tidak timbul lagi isu halal yang meragukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa Australia melalui Jabatan Pertanian, Air dan Alam Sekitar (DAWE) telah memberi maklum balas segera dalam isu melibatkan dakwaan keraguan status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia.

Rumah penyembelihan itu turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, DAWE menegaskan mereka memandang dakwaan itu sebagai sesuatu yang serius dan telah memulakan siasatan.

Menurutnya, DAWE menegaskan Australia mempunyai peraturan ketat yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk eksport dan hanya produk daging yang telah memenuhi peraturan dan keperluan eksport Australia serta mematuhi keperluan negara pengimport yang akan dibenarkan untuk dieksport.

Malah jelasnya, Jakim telah meminta penjelasan daripada pihak Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA) dan telah mendapat maklum balas segera daripada agensi itu,

“Jakim juga telah dimaklumkan oleh Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra, yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries dan mendapati penyembelihan halal yang dilakukan di Thomas Foods Industries adalah mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan (animal walfare) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia.

“Pihak SICHMA juga telah membuat kenyataan akhbar memberi penjelasan serta menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi tersebut dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka.

SICHMA memaklumkan bahawa mereka telah membuat pengauditan berkala ke atas Thomas Foods International,” katanya dalam kenyataan di sini.

Utusan Malaysia melaporkan, status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia didakwa diragui apa­bila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor mendakwa, beliau mempunyai bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah pe­nyembelihan itu termasuk rakaman video yang mendedahkan ketidakpatuhan prosedur pe­nyembelihan halal yang berlaku bertahun­tahun.

Hakimah berkata, isu tersebut bermula dengan dakwaan yang dibuat oleh seorang penulis di internet pada 1 April 2022 yang mendedahkan mengenai ketidakupayaan sebuah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim di Australia iaitu SICHMA bertajuk ‘Jakim Turning a Blind-eye to Halal Integrity Issues’.

Beliau menambah, prosedur pengiktirafan pengeksportan daging ke Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia, adalah termasuk aspek kebajikan haiwan sembelihan (animal welfare) dan aspek yang sama juga adalah menjadi keutamaan bagi pihak berkuasa di Australia.

Tegasnya, Malaysia mempunyai polisi mengenai kebajikan haiwan dan diperkukuhkan lagi dengan keperluan halal yang ditetapkan oleh Jakim.

“Oleh yang demikian, Jakim akan segera memanggil pihak Pekemas dan dalam masa sama akan mendapatkan maklumat lanjut dari pihak berkuasa di Australia bagi membantu menangani isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya