Dapat 3 tawaran belajar di AS, Danish gigih cari penaja - Utusan Malaysia

Dapat 3 tawaran belajar di AS, Danish gigih cari penaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar pintar di Kolej Genius@Pintar Negara (KGPN) yang sudah menerima tiga tawaran me­lanjutkan pengajian di univer­siti terkemuka di Amerika Sya­­rikat (AS) mungkin terpaksa me­lupakan impiannya kerana ke­tiadaan penajaan.

Kesemua tawaran dalam bidang sains itu diterima Muhammad Danish Addie Halim, 17, sejak Januari lalu hasil keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.90 dalam High School Diploma (HSD).

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Muhammad Danish berkata, tawaran pertama adalah dari Pennsylvania State University diikuti Washington University dan University of Wisconsin-Ma­dison.

Katanya, setakat ini dua permohonan biasiswa sudah dihantar kepada pihak MyBrainSc (Kementerian Pengajian Tinggi) dan sebuah bank.

MUHAMMAD DANISH

“Di samping itu, saya dalam pro­ses menghantar satu lagi per­mohonan biasiswa kepada sya­rikat infrastruktur terkemuka dan masih berhubung dengan pihak penaja bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Nur Sazyren Mohd. Salleh, 42, berkata, anak keduanya itu amat berharap dapat melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda ke salah satu institusi berkenaan.

“Sebagai ibu tentunya saya berharap urusan mencari penajaan dipermudahkan bagi merealisasikan impian anak untuk ke luar negara.

“Saya berterima kasih kerana kaunselor KGPN kerana banyak membantu anak saya dalam proses permohonan tajaan,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini mela­porkan negara bakal ke­hi­la­ngan bakat pintar yang di­bangunkan melalui pelbagai pro­gram khas kerajaan berikutan tiada laluan ekspres untuk menyambung pengajian ke universiti tempatan atau luar negara.

Ini kerana universiti tempatan dan penaja biasiswa tidak mengiktiraf sijil HSD yang dimiliki bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah.

Muhammad Danish, anak jati Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah antara 20 lepasan KGPN yang ditawarkan kemasukan ke universiti luar negara.

Berkongsi pengalaman yang sama, S. Tharshen, 19, dari Port Dickson, Negeri Sembilan terpaksa melupakan hasrat memasuki universiti terkemuka di AS gara-gara ketiadaan biasiswa.

Situasi itu dilalui Tharshen, kira-kira dua tahun lalu walaupun sudah ditawarkan tempat ke program ijazah sarjana muda di Pennsylvania State University dan Washington University.

Lepasan pelajar Kolej Genius@Pintar Negara (KGPN) di Universiti Kebangsaan Malaysia itu meraih PNGK 3.83 dalam SD manakala Sijil Pelajaran Malaysia pula 6A+, 2A dan 1A-.

Tharshen berkata, lima biasiswa dipohon daripada badan penaja bagi merealisasikan impian ke luar negara.

Katanya, selepas bertungkus-lumus melalui pelbagai peringkat temu duga, dia bagaimanapun berjaya mendapat biasiswa daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), namun hanya untuk penajaan pendidikan dalam negara di Universiti Teknologi Petronas (UTP).

“Saya ditawarkan biasiswa dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di UTP, dengan perlu melalui program asasi selama setahun pada September 2019,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN