PUTRAJAYA: DAP mengecam pencerobohan dan keganasan oleh rejim Israel ke atas rakyat Palestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Jurucakap Hal Ehwal Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, parti itu menggesakonflik tersebut diselesaikan dengan usaha perdamaian, keamanan dan diplomasi antara rakyat dan negara-negara yang terperangkap dalam suasana yang tertekan serta pergolakan selama berdekad.
“Kami menegaskan bahawa kejadian seperti ini tidak sepatutnya dan tidak seharusnya berlaku hari ini di dunia yang mana kita mempunyai ruang dan platform untuk diplomasi, keamanan dan perdamaian secara matang serta ‘menang-menang’ bagi semua pihak.
“Sama ada penganut Kristian, Islam atau Yahudi, anggota penguatkuasaan, badan pentadbiran dan pihak kerajaan harus bertanggungjawab ke atas setiap satu nyawa yang terkorban dalam pergolakan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media melaporkan, lebih 150 orang cedera dalam insiden pertempuran antara polis Israel dan rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu, berlaku dalam kesucian bulan Ramadan menyaksikan 400 turut ditahan selepas Masjid Al-Aqsa sekali lagi diserang. – UTUSAN










