Cuba seludup 3 tan karkas babi ketika waktu berbuka

Cuba seludup 3 tan karkas babi ketika waktu berbuka

LORI yang membawa karkas babi hutan ditahan PGA dalam serbuan di sebuah pangkalan haram dekat Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan. - IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan mematahkan cubaan menyeludup tiga tan metrik karkas babi hutan ke Thailand selepas menahan lima lelaki yang sedang memunggah barangan itu di Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintenden Azhari Nusi berkata, rampasan bernilai RM75,000 itu dibuat sejurus selepas pihaknya menerima maklumat disalurkan Unit Pasukan Udara (PGU) Bukit Aman pada pukul 7.20 malam, iaitu semasa umat Islam berbuka puasa.

Menurutnya, sebaik sahaja mendapat maklumat, sepasukan anggota ke lokasi untuk membuat serbuan.

“Hasil serbuan mengejut itu, kita menahan lima lelaki tempatan berusia 20 tahun hingga 40 tahun bagi membantu siasatan selain menahan sebuah lori berhampiran sebuah pangkalan haram.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas lori berkenaan membawa kepada sejumlah tiga tan metrik karkas babi tersebut yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubur untuk tindakan lanjut.

“Dalam perkembangan berasingan, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu merampas tiga ekor lembu seludup selepas menahan sebuah lori di Kampung Neting, Tumpat.

“Dalam serbuan pukul 9.45 malam itu, kita menahan pemandu dan kelindan lori untuk membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN