Chef Wan turut terkena tempias kenaikan harga bahan makanan - Utusan Malaysia

Chef Wan turut terkena tempias kenaikan harga bahan makanan

CHEF Wan (tiga dari kanan) bergambar bersama pengurusan AEON ketika pelancaran program AEON Star Rewards bersama Chef Wan di, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kenaikan harga yang melibatkan beberapa bahan makanan ketika ini turut memberi kesan terhadap chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.

Menurutnya, kenaikan ayam, daging, beberapa jenis sayur dan ikan membuatkan beliau terpaksa mencari pembekal bahan makanan tersebut yang menjual harga murah untuk dibekalkan kepada beberapa restoran miliknya.

“Saya terpaksa buat perkara ini kerana nak pastikan restoran dapat kekalkan harga makanan seperti sedia ada.

“Memang susah nak cari pembekal yang jual bahan makanan murah, tapi ini yang perlu saya lakukan ketika ini,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran program AEON Star Rewards bersama Chef Wan di AEON Shah Alam, di sini hari ini.

Sebelum isu tersebut berlaku saat ini, beliau sudah mengutarakan kebimbangan berhubung isu sama pada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) beberapa tahun lalu supaya mengambil tindakan sewajarnya.

Chef Wan mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan lebih banyak inisiatif kepada rakyat Malaysia supaya dapat menarik minat mereka menceburi bidang pertanian dan penternakan haiwan.

“Kita seharusnya bersyukur kerana Malaysia mempunyai tanah yang luas dan saya yakin, cukup untuk melakukan pertanian dan penternakan haiwan, selain mempunyai sumber bekalan air bersih.

“Saya juga berharap lebih rakyat Malaysia menceburi bidang ini kerana khuatir dengan situasi, yang mana negara terpaksa mengimport begitu banyak bahan makanan dari luar negara bagi memenuhi keperluan rakyat,” tegasnya.

Utusan Malaysia pada Khamis lalu melaporkan, kerajaan terpaksa mengimport bahan makanan ke negara ini, dengan nilai import berjumlah RM63.6 bilion pada tahun ini.

Situasi tersebut amat membimbangkan kerana pada tahun 2020, nilai import bahan makanan ke negara ini hanya berjumlah RM55.4 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya