GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengawal selia Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (EDCs) dalam produk-produk yang dijual di negara ini memandangkan ia berbahaya kepada kesihatan manusia.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat selaras dengan ujian yang dijalankan ke atas pemadam dan kertas termal di Malaysia yang didapati mengandungi Bisphenol A (BPA) dan ‘ftalat’ yang dikenal pasti sebagai EDCs.
”Pada masa ini di Malaysia tidak terdapat standard bagi analog BPA (atau derivatif) dalam kertas termal dan ftalat dalam pemadam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, menerusi kajian ke atas pemadam yang dibeli dari kedai terkenal di Pulau Pinang, daripada 40 sampel yang diuji, ftalat dikesan dalam 26 daripadanya.
”Kertas termal pula diambil di pelbagai tempat awam seperti di hospital, pejabat pos serta kedai runcit termasuk pasar raya dan daripada 44 sampel yang diambil, 27 mengandungi Bisphenol A dan 13 sampel mengandungi Bisphenol S,” katanya.
Tambah beliau, menerusi kajian yang dijalankan Wonjin Institute for Occupational dan Enviromental Health (WIOEH) dan Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF), Korea mendedahkan bahaya produk dengan toksik itu kepada kanak-kanak dan orang ramai.
”EDCs dikaitkan dengan gangguan neurologi dan tingkah laku, obesiti dan disfungsi metabolik, gangguan reproduktif dan kanser sensitif hormon. Para pakar memberi amaran pendedahan kepada EDCs dan kesannya boleh berlaku pada dos yang amat rendah yang mana nilai ambang peraturan yang ditetapkan dengan kecenderungan tiada dos selamat bagi EDCs,” katanya.
Mohideen berkata, memandangkan kesan kesihatan yang dikaitkan dengan EDCs, CAP menggesa pihak berkuasa mengawal selia EDCs dalam produk yang dijual di negara ini disebabkan banyak negara sudah pun mengawal bahan kimia berbahaya itu sejak beberapa tahun yang lalu. – UTUSAN