KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut bertaraf legenda, Mas Idayu menegaskan penyanyi baru masa kini perlu mempunyai bakat, bukan sekadar mengejar populariti di media sosial.
Kata Mas Idayu yang mesra disapa sebagai Mummy itu, bakat adalah satu-satunya perkara yang membuatkan penyanyi baru itu bertahan, seperti penyanyi-penyanyi lama.
“Mudahnya sekarang ini, dengan media sosial sahaja boleh naik. Saya tak rasa boleh kekal lama. Kalau setakat buat cover atau content untuk orang tengok.
“Ada yang diambil kerana viewers tinggi. Bakat tak ada. Itu minta maaflah, cakap terus terang, memang tak boleh maju.
“Yang ada bakat, pertama kena kenal diri mereka siapa. Kena ada originality, jangan tiru sesiapa. Bukan senang nak naik, kena pandai,” katanya.
Mas berkata demikian di Majlis Pelancaran Infaq Ramadhan Dapur Pasak dan Putra Amaris bertempat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek.
Dalam pada itu, Mas Idayu juga berkata cacian dan makian yang diterimanya sebagai juri program realiti tidak sedikitpun memberi kesan kepadanya.
“Saya, yang menjadi juri, dimaki hamun sana sini. Saya yakin dengan diri sendiri.
“Mereka yang komen saya itu duduk di bawah. Yang tak buat apa-apa, top up duit untuk maki hamun orang.
“Its okey. Kalau macam itu, saya lagi boleh berjaya,” katanya lagi.