Cadangan lantik Ismail Sabri Pengerusi BN: Jangan kelirukan akar umbi 

Cadangan lantik Ismail Sabri Pengerusi BN: Jangan kelirukan akar umbi 

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Jangan timbulkan masalah dan kelirukan akar umbi parti serta rakyat di luar sana.” Itu jelas Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadangkan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN). 

Tengku Adnan berkata, Perlembagaan UMNO sudah jelas tertera bahawa mana-mana individu yang menjadi Presiden UMNO akan dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN). 

“Saya hairan kenapa kenyataan (cadangan) itu dikeluarkan oleh Annuar kerana Pengerusi BN ketika ini adalah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu pun ada ura-ura mahu melantik Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi BN, namun ia tidak berlaku. 

“Sebagai bekas Setiausaha Agung UMNO, saya ingin jelaskan bahawa kita (UMNO) ada Perlembagaan sendiri dan perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan parti,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan apron dan topi kepada peniaga Bazar Ramadan Putrajaya, semalam.

Katanya, beliau menasihatkan semua pihak termasuk pemimpin parti supaya meletakkan masa depan negara di hadapan serta mengambil iktibar atas apa yang berlaku di Pakistan, Sri Lanka dan India ketika ini.

Tengku Adnan berkata, buat masa ini, Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO dan beliau bernasib baik kerana dilantik sebagai Perdana Menteri. 

“Jika kita tanya kepada beliau (Ismail Sabri), beliau sendiri pun tidak tahu akan menjadi Perdana Menteri. Ini semua ketentuan Allah SWT, justeru jangan pula kerja Tuhan pun kita nak buat,” katanya. 

Mengulas mengenai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Tengku Adnan berkata, perkara itu sudah dibincang sejak tiga bulan lalu. 

“Perkara ini dibincang dalam Biro Politik UMNO selepas mendapati beberapa pemimpin utama parti terpalit dengan beberapa isu,” katanya. 

Katanya, beliau secara peribadi menaruh kepercayaan bahawa Ismail Sabri boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. 

“Justeru, kita sokonglah beliau (Ismail Sabri) dan jangan pula kita mengadu domba,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×