Bukan tidak serik, tetapi terpaksa jual RM10 sekilogram - Peniaga ayam

Bukan tidak serik, tetapi terpaksa jual RM10 sekilogram – Peniaga ayam

KALANGAN peniaga ayam di Pasar Chabang Tiga kekal menjual pada harga RM10 sekilogram walaupun dikenakan kompaun serta-merta RM500 baru-baru ini. – FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kala­ngan 12 peniaga ayam di Pasar Cha­bang Tiga yang dikompaun RM500 baru-baru ini kekal menjual barangan berkenaan pada har­ga RM10 sekilogram demi me­neruskan kelangsungan perniagaan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga, Wali Ridzuan Hudin Abdul Manan, 36, berkata, walaupun bakal berdepan tindakan saman oleh pihak berkuasa, kesemua mereka bersedia menanggung akibat kerana gagal mematuhi harga minimum sebanyak RM8.90 se­kilogram yang ditetapkan.

Katanya, tindakan melanggar harga berkenaan terpaksa di­lakukan bagi menampung kos operasi mencecah RM120 setiap hari.

“Kami bukan sengaja melanggar peraturan tetapi terpaksa. Kalau ikut harga ditetapkan, saya dan kawan-kawan tidak boleh cari makan sebab ayam yang dibeli daripada pembekal sudah RM8.70 sekilogram.

“Dalam sehari kos operasi setiap hari termasuk upah seorang pekerja di samping ais dan plastik pun mencecah RM120, jadi bagaimana saya mahu menampung semua itu jika pula­ngan cuma 20 sen untuk setiap ayam yang terjual,” katanya semalam.

Khamis lalu, suasana di Pasar Chabang Tiga kecoh apabila seramai 11 peniaga termasuk seorang pemborong dikenakan kompaun serta merta sebanyak RM500 seorang gara-gara menjual ayam segar melebihi harga RM8.90 yang ditetapkan.

Menerusi video berdurasi sa­tu minit 37 saat yang tular di me­dia sosial, seorang peniaga mendakwa terpaksa mengorbankan wang bagi membeli pakaian raya anak-anaknya bagi membayar kompaun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Wali Ridzuan Hudin berkata, tindakannya menularkan video berkenaan bukan untuk mencetuskan kontroversi sebaliknya, mahu semua pihak termasuk kerajaan dan pengguna memahami bebanan yang ditanggung peniaga sebagai mangsa ke­adaan.

Katanya, pendedahan itu se­kali gus membuatkan rata-rata pengguna sedar situasi sebenar dan tidak lagi mengecam peniaga kerana menjual mahal, malah jualan ayam di kedainya berjalan seperti biasa dengan sehingga 75 ekor laris dalam sehari

Bagaimanapun, dia menafikan dakwaan kononnya peniaga di pasar berkenaan menipu pengguna dengan mempamerkan harga minimum, namun mengenakan nilai yang lebih mahal.

Sementara itu, Wali Ridzuan Hudin mengakui beberapa individu pemurah tampil mahu menghulurkan bantuan kerana simpati nasib dialaminya, namun terpaksa ditolak kerana masih berkemampuan.

“Saya berterima kasih atas keprihatinan ramai tetapi tidak dapat mengambilnya seolah-olah saya mahu mengambil kesempatan pula sedangkan ada kemampuan untuk membeli baju raya dua anak yang berusia setahun dan sembilan tahun kerana masih berniaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN