Bubur lambuk udang lipan jadi rebutan penduduk

Bubur lambuk udang lipan jadi rebutan penduduk

Penduduk bergotong-royong bersama-sama wakil Era Foods MY mengacau bubur lambuk dalam program Kongsi Berkat Bubur Lambuk dan diedarkan secara percuma kepada orang ramai di Dewan Orang Ramai, Kampung Tengah, Kuala Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PERLIS : Penduduk negeri ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bubur lambuk udang lipan atau lebih dikenali dengan nama kanji udang lipan dalam kalangan penduduk tempatan yang diagihkan secara percuma di Kampung Tengah, Seberang Ramai di sini kelmarin.

Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada penduduk di Dewan Orang Ramai Kampung Tengah bermula pukul 4.30 petang.

Penduduk Beseri dekat sini, Syamil Mohamad Zahari, 27, berkata, dia yang mahu ke rumah sepupunya singgah di dewan tersebut selepas melihat ada edaran bubur lambuk percuma.

“Saya tertarik selepas dimaklumkan bahawa ia adalah bubur lambuk udang lipan yang menjadi juadah popular di sini pada Ramadan,” katanya.

Dia pada masa sama berterima kasih kepada penganjur program iaitu Beras Era dan syarikat Media Mulia Sdn. Bhd. serta penduduk kampung yang bergotong-royong memasak juadah berkenaan.

Penduduk Kampung Baru Seberang, Halimah Husin, 62, berkata, dia sangat menggemari bubur lambuk yang disediakan mengikut resipi tradisi turun temurun penduduk di situ.

“Bubur lambuk udang lipan ini cukup rasa selain rasa lemak santannya serta manis daripada udang lipan itu,” katanya.

Sementara itu, tukang masak, Abdul Aziz Salleh, 57, berkata, beras jenama Era yang digunakan sangat berkualiti kerana tekstur bubur lambuk yang siap dimasak dalam keadaan elok dan tidak hancur.

“Hari ini mereka masak tiga periuk bubur lambuk dalam masa kira-kira dua jam seterusnya diagihkan kepada penduduk sekitar yang hadir di pekarangan dewan orang ramai ini,” ujarnya.- UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN