KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mendapat keuntungan dari segi politik jika Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) tidak disambung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana secara jelas dilihat BN kukuh pada waktu ini dan kekuatan parti itu boleh dizahirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Namun, katanya ia bergantung kepada Perdana Menteri sama ada ingin mengadakan PRU dengan cepat atau tidak.
“Walaupun yang menandatangani MoU itu bukan UMNO, apabila ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersuara dan meletakkan Perdana Menteri sebagai poster boy, beliau perlu mengambil tindakan yang sesuai dengan MKT. Maknanya, jika nak segerakan atau melewatkan pembubaran Parlimen, itu terletak di tangan Perdana Menteri.
“Jika kita lihat daripada kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Ibrahim tentang PH, mereka sendiri tidak yakin untuk menjadi kerajaan pada PRU15. Ini bermakna, jika Parlimen dibubarkan sekarang, kesannya adalah lebih baik kepada BN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Awang Azman lagi, MoU yang ada pada hari ini hanya dilihat melindungi PH yang sememangnya tidak bersedia menghadapi PRU15.
“Kalau MoU disambung, tekanan terhadap kerajaan kurang. Semak imbang pun kurang. Pengundi kata, kalau teruskan MoU itu, sama ada menyokong PH atau Barisan Nasional (BN), sama sahaja sebab mereka pun menyokong kerajaan,” katanya.
Pada masa yang sama katanya, blok pembangkang terus bergerak berasingan.
“Cuba fikir kembali, mengapa PH tidak terima pelawaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama? Sebab bagi PH, mereka lebih kuat dan mampu menang jika adakan pilihan raya,” soalnya lagi.
Bagaimanapun, Awang Azman turut berkata, MoU antara kerajaan dan PH itu turut membawa perkara positif sepanjang komitmen itu berjalan.
“Yang pertama undi 18, Undang-undang anti lompat parti, saya kira ia merupakan perkara besar yang mereka harus selesaikan. Selebihnya kita menunggu kerajaan lebih stabil dua per tiga itu wujud bagi menggubal dasar sepenuhnya,” ujarnya. – UTUSAN











