Bila rayuan akhir Najib akan diputuskan?

Bila rayuan akhir Najib akan diputuskan?

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan petisyen rayuan akhirnya lewat petang kelmarin namun tarikh pendengaran rayuan akhir tersebut akan didengar belum ditetapkan.

Jika melihat kepada kes berprofil tinggi membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, pendengaran rayuan akhir beliau hanya didengar enam bulan selepas petisyen rayuan difailkan.

Keputusan rayuan akhir bagi kes yang membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pula diputuskan Mahkamah Persekutuan kira-kira tiga bulan selepas pendengaran rayuan tersebut.

Menurut laporan media sebelum ini, pendengaran rayuan tersebut hanya akan didengar selepas permohonan Najib untuk memasukkan peguam kanan dari United Kingdom atau Queen’s Counsel bagi mewakilinya dalam rayuan terakhirnya itu diputuskan dengan muktamad.

Bagaimanapun, permohonan tersebut hanya akan difailkan secara rasmi paling lewat pada penghujung bulan Mei ini. Pendengaran permohonan untuk menerima masuk QC tersebut sebagai peguam Najib dijangka didengar pada penghujung Jun.

Peguam bela utama Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam laporan sama telah memberi bayangan bahawa sekiranya permohonan tersebut ditolak, maka pihaknya akan memfailkan rayuan.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian, tiada perbezaan ketara antara 94 alasan yang dikemukakan dalam petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan alasan-alasan yang dikemukakan pada peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada peringkat Mahkamah Rayuan, Najib mengemukakan 307 alasan kenapa beliau tidak sepatutnya disabitkan atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Najib dalam petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan masih membangkitkan isu wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya merupakan derma daripada kerabat diraja Arab.

“Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila menolak pembelaan perayu (Najib) berkaitan dengan derma Arab tersebut. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menyatakan bahawa pembelaan derma Arab tersebut tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan merupakan rekaan semata-mata,” katanya.

Najib juga mengulangi alasan beliau tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap akaun peribadinya mahupun mengetahui wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi tersebut merupakan wang yang diselewengkan daripada SRC International.

“Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi terkhilaf dar segi fakta dan undang-undang apabila menolak pembelaan Najib beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah wang SRC International dan beliau telah diperdayakan oleh Jho Low dan beberapa lain termasuk pihak pengurusan syarikat terbabit,” ujar salah satu alasan petisyen tersebut.

Satu perbezaan yang ditemukan dalam petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan adalah berkaitan afidavit Najib sendiri dalam kes samannya terhadap bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik.

Najib menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila sependapat dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa bekas Presiden UMNO itu sebenarnya mempunyai pengetahuan mengenai asal usul wang RM42 juta itu sebagaimana yang dinyatakan dalam afidavit kes saman itu dan keterangan peguam, Ranjit Singh.

Pada 27 Oktober 2015, Najib memfailkan saman mendakwa Dr Liong Sik atas dakwaan Menteri Pengangkutan telah mengeluarkan kenyataan fitnah yang kemudiannya diterbitkan melalui portal Malay Mail Online dalam artikel bertajuk MCA’s Liong Sik join’s call for najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own account.

Pada 29 Julai 2019, Ranjit ketika memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi pendakwaan ke-55 menyatakan Najib didakwa mengaku bahawa beliau menerima sebanyak RM42 juta daripada SRC International dan AS$700 juta (RM2.8 bilion) daripada sumber luar negara yang dimasukkan ke dalam akaunnya miliknya.

Perkara itu dimaklumkan Najib melalui afidavit balasannya dalam kes saman yang dikemukakannya terhadap Liong Sik pada Februari 2016 yang mana menurut afidavit bersumpahnya, Najib mengakui bahawa antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2015, wang RM42 juta adalah daripada SRC International.

Bagaimanapun pada 22 Mei 2018, Najib menarik balik saman tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN