Bicara kes Da'i Syed ditangguh, mangsa tidak hadir beri keterangan - Utusan Malaysia

Bicara kes Da’i Syed ditangguh, mangsa tidak hadir beri keterangan

SYED Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya diiringi peguamnya untuk dibicarakan atas pertuduhan seksual. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbicaraan kes pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas wanita itu tidak hadir bagi memberi keterangan.

Penuntut kolej itu yang juga mangsa dan pengadu kes sepatutnya memberi keterangan sebagai saksi pertama pendakwaan pada perbicaraan yang dijadualkan bermula hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini, dilapangkan.

Syed Shah Iqmal, 27, yang lebih dikenali sebagai Da’i Syed sepatutnya dibicarakan pada 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 April dan sehari pada 17 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau memohon tarikh bicara pada 17 Mei ini dikekalkan.

Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memaklumkan pihaknya tiada bantahan tarikh perbicaraan pada bulan ini dilapangkan kerana hak agak guamnya tidak diprejudiskan.

Hakim Jamaludin Mat membenarkan permohonan pendakwaan agar perbicaraan ditangguhkan dan menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan kes.

Pada 19 Mac 2021, kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dibenar dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan serentak.

Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 22 tahun.

Dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober 2020 di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.

Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya