MELAKA: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kembali ceria dan lebih bermakna buat seorang ibu tunggal, selepas kisahnya mencari rezeki dengan menjual barangan terpakai mendapat perhatian ramai termasuk kerajaan negeri.
Menurut Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39, sumbangan yang diterimanya kini tidak putus-putus kerana ada sahaja individu atau organisasi yang tampil setiap hari untuk membantu.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan datang memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, kit makanan, pakaian dan menguruskan persekolahan anak-anak.
“Wang tunai yang diterima akan digunakan untuk membayar hutang keperluan persekolahan anak-anak berjumlah RM300. Bantuan yang diterima ini seperti kelengkapan raya sedikit sebanyak meringankan beban saya dan menjadikan anak-anak lebih ceria untuk menyambut Syawal tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Balai Panjang, Malim di sini, semalam.
Dia ditemui selepas Setiausaha Khas Perhubungan kepada Ketua Menteri, Datuk Ghafar Misdar menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepadanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Umi Nur Faizah berdepan kesempitan hidup selepas kematian suami sehingga terpaksa mencari kotak serta barangan terpakai bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Dalam pada itu, Ghafar memberitahu, kerajaan negeri akan meminta kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk menguruskan urusan berkaitan rumah sewa.
Katanya, Yayasan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) juga akan membantu daripada aspek persekolahan kerana terdapat dua orang anak Umi Nur Faizah yang belajar di Madrasah di Alor Gajah.
“Saya harap ibu tunggal ini tidak kecewa kerana kerajaan negeri akan membantu apa yang termampu untuk teruskan kehidupan.
“Mengenai lanjutan visa penjagaan anak, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak berwajib, tetapi kita akan bantu untuk uruskan selagi tidak melanggar peraturan,” katanya.- UTUSAN










