Berikan Rohingya isi kekosongan buruh asing - Utusan Malaysia

Berikan Rohingya isi kekosongan buruh asing

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyarankan kerajaan mendaftarkan tahanan baharu Rohingya dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), dan segera bebaskan  mereka. 

Naib Presiden UMNO itu berkata, insiden ratusan tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Kedah sehingga ada yang terbunuh dilanggar kenderaan adalah sesuatu yang mendukacitakan.

Menurut beliau, penahanan berterusan membabitkan masa lama dan tanpa kejelasan tentang kesudahan terhadap nasib etnik berkenaan adalah pelanggaran hak asasi manusia. 

Selain itu, kata beliau, tindakan menahan mereka tersebut juga secara tidak langsung adalah pembaziran kepada wang rakyat apabila semua ini melibatkan pembiayaan kerajaan sepenuhnya.

“Sebagai anggota Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2022 hingga 2024, Malaysia mesti menunjukkan iltizam untuk mengurus dasar-dasar berkaitan pelarian dengan lebih telus, bertanggungjawab dan bersandar keselamatan insan.

“Tahanan baru mesti segera didaftarkan dengan UNHCR. Mereka yang telah berdaftar dan mempunyai kad, mestilah segera dibebaskan. 

“Tanpa perlu mengimport jutaan pekerja tidak berkemahiran melalui pelbagai MoU yang merumitkan, kumpulan pelarian ini boleh kita benarkan untuk bekerja.

“Ini akan membantu mereka membangun kemahiran, membiayai kehidupan sendiri dan mengurangkan beban kerajaan,” kata beliau  di Facebook, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, sebanyak 398 etnik Rohingya yang meloloskan diri dari depoh itu ditahan semula setakat pukul 5 pagi ini. 

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka yang ditahan semula itu terdiri daripada 192 lelaki, 75 wanita, 63 kanak-kanak lelaki dan 60 kanak-kanak perempuan.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, kerjasama erat dengan UNHCR mesti dipertingkatkan agar mereka boleh segera dipindahkan ke negara penerima dan memulakan kehidupan baru di negara- negara tersebut.

“Ramadan yang Kareem dan Mubarak ini harus menjelmakan ihsan dan kemanusiaan kita kepada mereka yang mencari perlindungan di negara ini tanpa berkompromi dengan kepentingan keselamatan nasional,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya