sambutan menggalakkan

Berbuka, beribadat persis Madinah

MADINAH Ramadan mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 500 jemaah datang dari sekitar Kota Bharu untuk beribadat. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Selepas dua tahun berturut-turut dibatalkan kerana ancaman Covid-19, program Madinah Ramadan akhirnya kembali di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, sini sepanjang Ramadan kali ini.

Madinah Ramadan merupakan program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diisi aktiviti berbuka puasa, solat jemaah, solat tarawih, qiamulail, solat sunat tahajud, tadarus al-Quran dan bersahur seolah-olah seperti di Madinah.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi penganjuran Madinah Ramadan baru-baru ini mendapati program itu menerima sambutan menggalakkan apabila kira-kira 500 jemaah datang dari segenap pelosok negeri untuk beribadat.

Sebaik sahaja masuk ke dalam khemah besar itu, suasana dirasakan tidak ubah seperti berada di tanah suci, lebih-lebih lagi apabila Imam dari sana, Syeikh Hisyam Abdelbary Mohamad Rageh mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ketika mengimamkan solat tarawih

Pembantu undang-undang, Raihan Mohd. Yusof, 26, berkata, Madinah Ramadan merupakan lokasi utama yang dipilih keluarganya unttuk menunaikan solat tarawih sejak sebelum pandemik Covid-19.

“Apabila Madinah Ramadan dibenarkan selepas fasa peralihan endemik saya tidak melepaskan peluang untuk datang ke sini pada setiap malam.

“Lagi pun bacaan ayat suci al-Quran oleh imam sangat merdu seolah-olah seperti berada di negara Arab,” katanya yang tinggal di Pasir Hor di sini.

Seorang lagi jemaah, Rohanah Yunus, 58, berkata, Madinah Ramadan mengingatkan nostalgia ketika dia belajar di Tanah Arab dalam bidang Tafsir Hadis selama empat tahun ketika zaman muda dahulu

“Saya dan anak-anak suka datang ke sini kerana ruang solat yang luas dan nyaman selain bacaan ayat-ayat suci itu yang diperdengarkan menyentuh jiwa,” katanya yang tinggal di Pengkalan Chepa.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob merasmikan Madinah Ramadan sebelum menyertai 500 jemaah lain untuk solat Isyak dan tarawih dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN