Bazar Jalan Hang Tuah kutip RM1.6 juta - Utusan Malaysia

Bazar Jalan Hang Tuah kutip RM1.6 juta

ORANG ramai menyerbu Melgrab di Jalan Hang Tuah, Banda Hilir, Melaka untuk membeli kelengkapan Syawal pada minggu terakhir Ramadan. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bazar di Jalan Hang Tuah di sini yang sebelumnya suram dengan hanya tiga buah khemah beroperasi pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu kini kembali meriah, malah Penganjur Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) berjaya mengutip hasil jualan melebihi RM1.6 juta, sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sebanyak 95 peratus daripada 128 peniaga di Melgrab merekodkan jualan yang memberangsangkan selepas pelbagai promosi dilakukan.

“Sambutan diterima oleh peniaga amat mengagumkan, kerana 95 peratus gerai berjaya meraih jualan dan difahamkan pengunjung terus membanjiri bazar ini sehingga pukul 1.30 pagi untuk beli-belah. Sejak awal Ramadan sehingga 23 Ramadan ini, jumlah kutipan hasil jualan melebihi RM1.6 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di Bazar Melgrab, Jalan Hang Tuah di sini, malam tadi.

Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan sebarang usaha yang dapat merangsang ekonomi khususnya pada bulan Ramadan.

“Kita lihat rakyat Melaka mempunyai kuasa membeli yang cukup baik pada hari ini, sekali gus dapat membantu menjana ekonomi negeri. Jadi, saya menggalakkan sesiapa sahaja yang hendak melabur datang ke Melaka ini untuk menjana ekonomi baharu, bukan sahaja pasaran di sepanjang Jalan Hang Tuah tetapi seluruh negeri,” jelasnya.

Sementara itu, Penganjur Melgrab, Mohamad Sayuthi Abd. Rani berkata, sehingga semalam seramai 1.2 juta pengunjung direkodkan ke bazar berkenaan.

“Sebelum ini kita hanya sasarkan seramai satu juta pengunjung, bagaimanapun sehingga semalam kita dimaklumkan oleh pihak penguasa yang membantu mengawal lalu lintas bahawa kira-kira 1.2 juta pengunjung telah ke bazar ini.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat sehingga minggu hadapan membabitkan golongan yang gemar membuat persiapan raya di saat akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN