Banduan di Kelantan bayar RM12,922 zakat fitrah

Banduan di Kelantan bayar RM12,922 zakat fitrah

PENYERAHAN replika cek zakat fitrah banduan diwakili Nordin Muhamad (tengah) kepada Ameer Azeezy Tuan Abdullah sambil diperhatikan Mat Yaacob (kanan) di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam. - FOTO/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Penjara Malaysia Kelantan berjaya mengumpul sejumlah RM12,922 daripada 1,800 penghuni penjara di seluruh negeri ini yang secara sukarela mahu membayar zakat fitrah.

Banduan di Penjara Pengkalan Chepa menyumbang sebanyak RM7,000 diikuti penghuni di Pusat Pemulihan Akhlak Machang (RM3,500), Pusat Re-Integrasi Kuala Krai (RM1,400) dan selebihnya oleh individu di pejabat-pejabat parol.

Pengarah Penjara negeri, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, jumlah kutipan zakat fitrah itu melibatkan banduan penjara dan penghuni pusat pemulihan akhlak serta individu di pejabat parol di seluruh negeri.

“Kutipan zakat ini atas kerelaan penghuni sendiri yang membayarnya selepas menerima elaun pekerjaan yang mereka lakukan seperti membuat kraftangan, batik serta pertukangan dan pertanian ketika dalam tahanan. 

“Sebenarnya penghuni penjara tidak diwajibkan atau tidak dipaksa mengeluarkannya tetapi mereka yang ingin menjalankan ibadat itu sangat digalakkan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Zakat Fitrah Penghuni Penjara Kelantan kepada Ketua Pegawai Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Penyerahan zakat fitrah oleh banduan dan penghuni itu diwakili oleh Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad. 

Mat Yaacob dalam pada itu berkata, ada di antara penghuni terbabit sebelum ini tidak pernah membayar zakat namun akhirnya timbul keinsafan dalam diri untuk melaksanakan kewajipan itu setelah berada dalam tahanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN