KOTA BHARU: Bapa kepada Asif atau nama sebenar Mohd. Asyiff Suhaimi, 19, pelakon Drama Spontan dan filem Mael Totey The Movie sebak selepas anaknya kini semakin popular dan sering berjauhan dengannya apabila ke lokasi lakonan.
Suhaimi Yunus, 59, berkata, semenjak Asif kecil lagi, dia tidak pernah berpisah dengan anaknya itu memandangkan keadaan anaknya yang mengalami masalah pembelajaran dan merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Suhaimi berkata, disebabkan masalah itu, Asif tidak pandai berdikari dan kurang bergaul, malah jika hendak ke mana-mana pun,dialah yang sering menemani anaknya itu.
“Namun selepas didedahkan dengan dunia lakonan dan diberi pendedahan oleh sepupunya Syahmi Syazli, dia kini sudah pandai bergaul dengan orang ramai dan mula belajar berdikari.
“Walaupun saya gembira dengan perubahannya itu namun saya sebak apabila teringatkan dia, lagipun dia kini sering berjauhan dengan keluarga untuk ke lokasi drama lakonannya dan kadangkala hingga sebulan meninggalkan rumah, apa pun saya reda dan bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT,”katanya.
Suhaimi berkata demikian ketika ditemui pemberita, selepas sambutan hari (OKU) Muqarrabun Peringkat Negeri Kelantan 2022 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa semalam.
Asif dinobatkan sebagai penerima anugerah selebriti OKU dalam majlis itu.
Suhaimi menambah, keadaan juga berubah apabila Asif yang merupakan anak ke lapan dari 10 beradik itu, mula dikenali dan sentiasa mendapat perhatian ramai.
“Kalau dulu, Asif langsung tidak boleh didekati orang yang tidak dikenali, tapi kini pakcik bangga dan gembira dengan pencapaiannya yang semakin berani.
“Apa pun pakcik sering nasihatkan dia supaya jaga diri, walaupun tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam bidang akademik, namun perlu jaga nama baik keluarga agar sentiasa dihormati walau di mana pun tahap seseorang itu berada,” katanya.
Asif mula mengumpan peminat apabila muncul dalam Drama Spontan di YouTube disusuli filem bajet rendah, Mael Totey The Movie arahan Syahmi Sazli yang mencetuskan fenomena pada era pandemik Covid-19, lakonannya mencuit hati dengan gelagat bersahaja menggunakan dialek Kelantan. – UTUSAN










