IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diharap tidak meminggir golongan artis kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, penggiat seni tanah air berkenaan wajar diberi peluang untuk memiliki kediaman sendiri sama seperti rakyat lain yang layak.
Menurutnya, baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membentangkan cadangan kepada jemaah menteri untuk mewujudkan semula program perumahan rakyat yang disubsidikan oleh kerajaan.
“Skim perumahan itu diberikan kepada pemohon secara sewa beli walaupun menyewa tapi akhirnya menjadi hak milik dalam tempoh tertentu.
“Saya harap apabila ada skim yang sebegitu, jangan dilupakan kelompok seniman, budayawan dan para artis,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi seniman, Ahmad Jamil Shuib di Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini semalam.
Mengulas mengenai ziarah kasih berkenaan, Annuar berkata, pihaknya berpeluang untuk bertemu serta bertanya khabar Ahmad Jamil, 68, yang kini menghidap serangan angin ahmar ringan.
Annuar berkata, perbualan bersama Ahmad Jamil dan keluarga mendapati mereka kini menyewa sebuah rumah di Jalan Hospital di sini dan pelakon itu tidak lagi bekerja.
“Pihak kami sedia membantu beliau untuk membina rumah di atas tanah sendiri di Kuala Kangsar jika mendapat persetujuan ahli keluarganya,” katanya.
Sementara itu, isteri Ahmad Jamil, Noor Davini Zainal Abidin, 44, berkata, suaminya menghidap serangan angin ahmad ringan pada penghujung tahun lalu dan kini bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Katanya, dia menyambut baik cadangan Annuar untuk membina sebuah kediaman di tanah mereka di Kuala Kangsar ekoran itu merupakan harapan dan impian dia dan suaminya. – UTUSAN










