PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendedahkan ancaman hidupan liar seperti gajah dan harimau terhadap penduduk di Semenanjung dikesan semakin meningkat sejak dua tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sebanyak 431 aduan dilaporkan dalam tempoh dua tahun sejak Januari tahun lalu di Semenanjung.
“Daripada jumlah itu, aduan tertinggi dicatatkan adalah pada tahun ini iaitu sebanyak 243 aduan melibatkan gajah liar iaitu 190 aduan diikuti harimau kumbang (23), harimau malaya (28) dan harimau dahan (dua).
“Bagi tiga bulan pertama tahun lalu, sebanyak 188 aduan dilaporkan melibatkan gajah liar iaitu sebanyak 151 aduan diikuti harimau kumbang (18), harimau malaya (12) dan harimau dahan (tujuh) berdasarkan Aduan Konflik Manusia-Hidupan Liar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, serangan haiwan liar seperti gajah dan harimau merosakkan tanaman dan kebun adalah disebabkan habitatnya yang terganggu ataupun musnah.
“Dengan kemusnahan habitat, haiwan-haiwan ini susah mencari makanan. Oleh itu, alternatif terbaik untuk mencari makanan adalah di kebun dan ladang,” jelasnya.
Abdul Kadir memberitahu, beberapa tindakan seperti khidmat nasihat, kawalan di lokasi konflik dan tembak halau dilakukan Perhilitan Johor bagi mengatasi isu serangan gajah liar terhadap tanaman dan kebun sawit milik pekebun.
“Antara tindakan yang diambil ialah khidmat nasihat yang mana cadangan pemasangan peralatan mitigasi gajah, pagar elektrik mudah alih, lampu diod pemancar cahaya (LED) serta pembinaan longkang dan parit dilakukan bagi menangani kejadian yang berlaku.
“Selain itu, kawalan di lokasi konflik turut dijalankan melibatkan kakitangan dengan kerjasama penduduk setempat pada waktu siang dan malam,” jelasnya.
Semalam, akhbar melaporkan pekebun di Kampung Air Papan, Mersing tidak lagi dapat bertahan kerugian besar disebabkan gajah liar yang menyerang tanaman dan kebun sawit mereka.
Serangan gajah liar itu bukan sahaja memusnahkan pokok sawit, malah jalan di kebun juga hancur akibat berat badan gajah yang menyebabkan ia terbenam dan mengheret perut untuk bergerak.
Abdul Kadir turut berkata, tindakan tembak dan halau gajah liar kerana menghampiri kawasan kebun juga dilakukan bagi mengekalkan kesejahteraan penduduk.
“Anggaran populasi yang dikesan adalah sebanyak 17 ekor yang mana empat ekor dikesan berada di Panti, Peta, Jemaluang dan Tenggaroh, Johor,” katanya. –UTUSAN ONLINE