KUALA NERUS : Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) boleh menyumbang kepada pembangunan universiti berkenaan menerusi idea dan pemikiran selain kewangan bagi memastikan UMT sentiasa hebat dalam semua bidang.
Presiden Persatuan Alumni UMT, Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi berkata, alumni yang berjaya dalam kerjaya masing masing boleh berbuat demikian setelah tamat pengajian di samping memberi motivasi untuk berjaya.

“Ayuh alumni UMT bersama kita bersatu hati menyokong usaha pengurusan universiti dalam memastikan universiti ini sentiasa hebat dalam semua bidang, sesuai dengan slogan ‘Kami Cakna, Kami Sayang UMT’” ujarnya yang juga ahli Lembaga Pengarah UMT
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Anugerah Ikon Alumni Universiti Malaysia Terengganu UMT 2021 (MAIKA’21) yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar dan Pengarah Pusat Alumni UMT, Prof Datuk Dr. Saharuddin Abdul Hamid.
MAIKA’21 merupakan anjuran buat julung kalinya sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada alumni-alumni UMT yang cemerlang dan berjaya dalam bidang masing-masing.
Antara anugerah Ikon yang diiktiraf adalah Ikon Alumni Industri, Ikon Alumni Usahawan, Ikon Alumni Akademik, Ikon Alumni Pengurusan Awam dan Ikon paling utama adalah anugerah Ikon Alumni Unggul.
Sementara itu Mazlan berkata, bermula 1 Januari 2018, pengurusan universiti bersetuju menubuhkan Pusat Alumni UMT dengan hasrat murni iaitu sebuah pusat yang menguruskan organisasi alumni dengan yang lebih tersusun dan terancang serta membina citra baharu dalam jaringan antara universiti, alumni dan industri.
“Pusat ini akan lebih berperanan dalam mengukuhkan jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat alumni UMT serta syarikat-syarikat luar yang akan dijadikan sebagai Alumni Partners. Kerjasama strategik ini dalam bentuk penawaran tempat latihan industri kepada pelajar UMT, menawarkan peluang kerja kepada graduan serta sumbangan kewangan dan kepakaran kepada alma mater,” ujarnya.
Untuk rekod, bilangan alumni sehingga 2020 adalah 35,662 graduan.


Mohd Khairul berkata, dengan pengiktirafan tersebut diharapkan alumni UMT terpanggil untuk bersama-sama UMT bagi melahirkan lebih ramai alumni UMT yang berjaya.- UTUSAN
Senarai ikon Alumni UMT 2021
Ikon Alumni Unggul (Utama)
SARIPAH EMBONG
Ikon alumni Akademik
PROF MADYA DR. MOHD ZUL HELMI ROZAINI
Ikon Alumni Pengurusan Awam
LI HUI LING
Ikon Alumni Industri
NUR ZAHIRAH SHAHRUDIN
Ikon Alumni Usahawan
WAN SABARIAH SHUIB