PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sangat mengenali Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa kerana arwah jugalah yang banyak memimpinnya ketika dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Menurutnya, apabila dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri pada usia 33 tahun, beliau akui tidak punya apa-apa pengalaman dalam pentadbiran.
“Ketika itu, saya banyak belajar daripada Allahyarham. Beliau seorang yang sangat pemurah hati dengan ilmu dan sentiasa berkongsi pengalaman dan membimbing saya.
“Allahyarham mempunyai gaya pemikiran luar biasa berbanding penjawat awam lain kerana beliau melihat sesuatu isu bukan hanya dari sudut penjawat awam tetapi dari sudut pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penghormatan terakhir Allahyarham Dr. Ali di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), hari ini.
Katanya, pengalaman arwah sebagai ketua di Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) digunakan sebaiknya apabila dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara.
Khairy berkata, Allahyarham melihat penyelesaian kepada masalah rakyat bukan hanya daripada kerajaan semata-mata sebaliknya ia datang daripada pelbagai sudut dan pendekatan.
Menurutnya, Allahyarham adalah antara KSN yang terbaik dalam sejarah negara dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara. – UTUSAN










