SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan terbitan al-Quran dan terjemahan dalam Bahasa Mandarin di sini hari ini.
Penerbitan yang bermula pada 28 Mei 2016 itu dilaksanakan Yayasan Restu dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) mencetak sebanyak 5,000 al-Quran dan terjemahan sebagai permulaan sebelum mencapai sasaran 50,000 naskhah.
Langkah penerbitan kitab suci itu ke dalam Bahasa Mandarin adalah sebagai usaha pengedaran al-Quran dan meningkatkan pemahaman tentang Islam kepada kira-kira 80 juta kaum Cina Muslim di seluruh dunia.
Menurut Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa, usaha menerbitkan terjemahan al-Quran ke dalam Bahasa Mandarin adalah sebahagian daripada peranan yayasannya yang sudah pun menterjemahkan kitab suci itu ke dalam pelbagai bahasa lain.
“Teks al-Quran mushaf ini adalah daripada manuskrip salinan tangan Yayasan Restu yang disalin mengikut format Mushaf Madinah manakala terjemahan Bahasa Mandarin merujuk kepada terjemahan Muhammad Ma-jian terbitan Madinah, Arab Saudi.
“Usaha pembaikan dilakukan oleh Jawatankuasa Lajnah al-Quran dan Terjemahan Bahasa Cina Yayasan Restu yang diketuai Abdul Kadir Leong bersumberkan daripada kitab-kitab tafsir muktabar dan beberapa terjemahan Bahasa Mandarin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran al-Quran al-Karim dan Terjemahan Bahasa Cina di Kompleks Seni Islam Antarabangsa.
Sehingga kini, Yayasan Restu sudah menerbitkan al-Quran dan terjemahan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Kazah, Hausa, Khmer dan Mandarin.
Jelas Abdul Latif, usaha penerbitan al-Quran dan terjemahan dalam Bahasa Mandarin bermula dengan pelancaran Juzuk Amma dan surah-surah pilihan serta terjemahannya dalam bahasa tersebut.
“Usaha tersebut dimasyhurkan sendiri oleh Sultan Sharafuddin pada 2016. Ini bererti proses penghasilan Mushaf Cina ini mengambil tempoh enam tahun.
“Keistimewaan Mushaf ini adalah mempunyai lebih 2,000 nota kaki bagi memberi penjelasan dan huraian maksud ayat, penggunaan bahasa dalam terjemahan yang mudah difahami, tidak bercanggah dengan akidah, mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau menambah, Yayasan Restu memainkan peranan tersebut sebagai sebuah pertubuhan yang dikenali dunia dalam penyalinan mushaf al-Quran beriluminasi penuh. – UTUSAN