Aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi dihenti selepas wang dibeku

Aktiviti kebajikan Yayasan Akalbudi dihenti selepas wang dibeku

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Yayasan Akalbudi tidak lagi menyalurkan dana untuk membiayai aktiviti kebajikan dan amal jariah di dalam dan luar negara selepas wang badan amal itu dibekukan ekoran pendakwaan terhadap beliau, empat tahun lalu.

Presiden UMNO itu berkata, Yayasan Akalbudi tidak lagi meneruskan sumbangan selepas beliau didakwa di mahkamah atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram pada Oktober 2018.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu bahawaTetuan Lewis & Co. merupakan pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi yang mana Ahmad Zahid juga ahli lembaga pemegang amanahnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri kemudian menyenaraikan sumbangan dan bantuan yang dikeluarkan oleh badan amal itu sejak penubuhannya pada 1997.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sumbangan tersebut antaranya termasuk perbelanjaan tiket, hotel dan penyediaan makanan untuk anggota-anggota polis dan pasukan keselamatan yang terlibat ketika bencana pesawat MH17.

Ujarnya, beliau bersama-sama pasukan keselamatan telah melawat `ground zero’ di Ukraine, sempadan Rusia selepas pesawat itu ditembak jatuh dan terhempas.

Ahmad Zahid berkata, perbelanjaan itu turut melibatkan sebahagian kos penghantaran kumpulan forensik bagi mengenal pasti mayat penumpang yang terlibat dalam nahas itu.

Ketika ditanya oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal mengapa Yayasan Akalbudi membiayai perbelanjaan itu bukannya Kerajaan Malaysia, Ahmad Zahid menyatakan tragedi itu berlaku tanpa diduga dan kerajaan tidak dapat mengeluarkan wang pendahuluan dalam tempoh yang singkat.

Ahmad Zahid, 69, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri membacakan pernyataan bertulisnya ketika memberi keterangan dari kandang saksi pada hari pertama perbicaraan.

Dalam keterangannya, Ahmad Zahid berkata, antara sumbangan lain ialah pembinaan masjid di Yunan, China yang menelan kos RM3.8 juta dan pengubahsuaian masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan yang menelan kos AS$1 juta.

Selain itu, ujar beliau Yayasan Akalbudi turut membiayai kos pengubahsuaian sebuah gereja lama yang dibeli oleh komuniti Islam di Perth, Australia untuk dijadikan masjid.

Ahmad Zahid turut menyatakan, yayasan itu turut menanggung kos pengubahsuaian berpuluh-puluh rumah anak yatim di seluruh negara bernilai jutaan ringgit selain turut membiayai pembinaan dewan-dewan kemudahan awam untuk kegunaan kuil dan gereja.

“Saya rakyat Malaysia sejati dan menjadi tanggungjawab saya selaku ahli politik untuk berlaku adil dengan memberi kemudahan kepada penganut agama lain,” ujar beliau pada sesi pemeriksaan utama.

Dalam keterangannya, Ahmad Zahid turut berkata, Yayasan Akalbudi malah memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang memasuki kolej, sementara menunggu wang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dikeluarkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya