fbpx

Air tandak kotor angkara pembalakan

MOHD. Asri Mat Daud menerima memorandum daripada wakil penduduk, Ali Hanafiah Mohamed di depan Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU: Sudahlah keruh, berpasir dan berkelodak pula. Itu kualiti empat tandak yang menjadi sumber air utama lebih 11,000 penduduk di sekitar Mengkebang, Kuala Krai yang didakwa merosot teruk akibat aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian.

Penduduk mendakwa, kualiti air tandak itu sebenarnya sudah mula terjejas sejak 10 tahun lalu, sebelum bertambah buruk dalam tiga tahun kebelakangan ini sehingga tidak boleh digunakan langsung untuk urusan harian.

PENDUDUK Mengkebang, Kuala Krai memegang sepanduk mendesak kerajaan negeri menarik balik kelulusan pembalakan yang menjejaskan sumber air tandak mereka. – FOTO/ROHANA MOHD. NAWI

Sehubungan itu, mereka berpakat menandatangani satu memorandum mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob campur tangan termasuk membatalkan lesen yang sudah diberikan kepada aktiviti pembalakan di situ.

Wakil penduduk, Ali Hanafiah Mohamed berkata, setelah berpuluh tahun berdepan masalah yang sama, mereka sudah tidak tahan lagi dan berharap kerajaan negeri mendengar keluhan serta segera mencari jalan penyelesaian terbaik. 

“Kami mendesak kerajaan membatalkan segala lesen pembalakan di kawasan berhampiran yang menyebabkan air tandak kami terjejas teruk.

“Kerajaan juga perlu mewartakan semua kompartmen di HSK Sungai Durian sebagai kawasan tadahan air kekal,” katanya kepada pemberita ketika tampil menyerahkan memorandum bersama 20 lagi penduduk di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

‘Memorandum Pengguna Tandak Air Blok Ulu Kelantan, Mengkebang Pusat, Mengkebang Pasir Puteh dan Kampung Becah Salak, Kuala Krai’ tersebut diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohd. Asri Mat Daud pada pukul 10.15 pagi ini.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, selepas isu tersebut dibangkitkan baru-baru ini, pihak Menteri Besar sudah pun mengarahkan lesen semua aktiviti pembalakan di sekitar kawasan tadahan air tandak itu dibatalkan pada 18 April lalu.

“Sebelum ini saya sendiri bersama ADUN Mengkebang telah meninjau kawasan tersebut dan mendapati aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan sudah pun dihentikan.

“Sehubungan itu, kita menganggap isu ini sudah selesai. Mungkin penduduk yang hadir untuk menghantar memorandum pada hari ini belum dimaklumkan mengenai tindakan terbaharu kerajaan negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!