SEREMBAN: Bekalan daging lembu di Negeri Sembilan mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai sempena Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menyediakan sebanyak 83 tan bekalan daging menerusi penganjuran program Mantai Perdana.
“Kami memberi jaminan bekalan daging bagi sambutan Aidilfitri kali ini mencukupi.
“Menerusi program Mantai Perdana, 83 tan daging akan disediakan dan ia melibatkan penyertaan seramai sembilan pengusaha di seluruh negeri ini,” katanya kepada selepas mempromosikan Program Mantai Perdana Online Negeri Sembilan 2022 di Pasar Tani Kekal Paroi, di sini hari ini.
Sementara itu beliau memberitahu, sempena program Mantai Perdana tahun ini, buat pertama kalinya orang ramai boleh membuat pembelian secara dalam talian menerusi laman web www.agrobazaar.com.my.
“Ia bagi memudahkan pelanggan yang tidak perlu bersesak mendapatkan daging. Ia juga sekali gus membantu pihak penternak mengetahui kuantiti pembelian daging yang diperlukan serta bagi mengelakkan pembaziran ketika hari Mantai.
“Pelanggan yang berminat membeli daging secara dalam talian hanya perlu melayari laman web tersebut dan membuat pembayaran seterusnya mengambil daging di 13 buah lokasi yang ditetapkan pada 30 April ini,” katanya.
Tambah Bakri, pihaknya menyasarkan sebanyak tiga tan bekalan daging terjual secara dalam talian menerusi program berkenaan.
“Walaupun jualan secara dalam talian akan berakhir esok, sehingga hari ini, hanya satu tan sahaja bekalan daging terjual. Subsidi sebanyak RM3 bagi setiap pembelian sekilogram daging dengan maksimum pembelian sebanyak tiga kilogram akan diberikan kepada pelanggan yang membuat tempahan secara dalam talian,” katanya. – UTUSAN










