Aidilfitri: 100,000 buah kenderaan bakal masuk Melaka

Aidilfitri: 100,000 buah kenderaan bakal masuk Melaka

RAZALI Abu Samah menyampaikan bubur lambuk kepada orang ramai pada Kempen Keselamatan Rumah dan pengedaran bubur lambuk sempena Ramadan di Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Aliran trafik di Melaka dijangka sesak dengan jumlah kenderaan meningkat mencecah 100,000 buah atau melebihi 50 peratus pada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, bulan depan.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, sejak pembukaan pintu sempadan pada 1 April lalu, jumlah kemasukan kenderaan di ketiga-tiga tol di negeri ini merekodkan peningkatan mendadak.

Katanya, keseluruhan sebanyak 45,023 buah kenderaan direkodkan masuk ke Melaka pada 1 April lalu dengan peningkatan sebanyak 14,058 buah berbanding hari sebelumnya.

“Kita jangkakan jumlah kenderaan masuk ke negeri ini pada perayaan Aidilfitri bulan depan meningkat tidak kurang daripada dua kali ganda atau mencecah hampir 100,000 buah kenderaan.

“Justeru, pasukan kita telah bersiap sedia untuk mengawal kesesakan lalu lintas dan dalam masa sama memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya pada sidang akhbar Kempen Keselamatan Rumah dan pengedaran bubur lambuk sempena Ramadan di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kesiapsiagaan Kontinjen Melaka, beliau memberitahu, seramai 234 personel masih dikekalkan dalam pasukan pematuhan SOP.

“Secara keseluruhan termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kita mempunyai seramai 954 personel penguatkuasa pematuhan.

“Walaupun kita telah beralih kepada fasa peralihan ke endemik, namun kumpulan pematuhan ini masih dikekalkan untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Razali memberitahu, pihaknya juga telah menerima sebanyak 21 permohonan bagi permit penjualan bunga api.

Katanya, bagaimanapun setakat ini polis masih meneliti kelayakan pemohon dan belum meluluskan sebarang permit bagi tujuan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN