Ahmad Zahid baca pernyataan saksi untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid baca pernyataan saksi untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mula membacakan pernyataan saksi di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi ketika mengemukakan keterangan bela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.08 pagi diiringi para penyokongnya untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Beliau sedang membacakan pernyataan bertulisnya sepanjang 27 muka surat yang antara lain berkisar mengenai pendidikan dan kerjaya awalnya.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya