Agihan zakat, fidyah naik lebih 100 peratus di Kelantan

Agihan zakat, fidyah naik lebih 100 peratus di Kelantan

TENGKU Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menyampaikan bantuan wang tunai kepada penerima dalam Majlis Pengurniaan Sumbangan Zakat dan Fidyah di Masjid Muhammadi Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jumlah agihan zakat dan fidyah kepada golongan memerlukan bantuan di Kelantan mencecah RM770,300 pada tahun ini, meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lalu, iaitu cuma RM300,000.

Yang Dipertua Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penerima agihan itu terdiri daripada asnaf, fakir miskin dan anak yatim di seluruh negeri.

Kata beliau, mereka yang layak menerimanya dinilai berdasarkan kriteria tertentu dengan penilaian dibuat oleh imam-imam masjid di setiap mukim dan jajahan masing-masing.

“Kita dapati jumlah agihan memang meningkat pada tahun ini, begitu juga dengan bilangan penerima yang mendapat bantuan wang tunai antara RM300 hingga RM500 seorang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Zakat dan Fidyah Kepada Golongan Asnaf Fakir, Miskin dan Anak Yatim Kelantan di Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Yang hadir sama Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab. Rahman.

Dalam majlis itu, sebanyak RM580,000 daripada jumlah keseluruhan RM770,300 agihan zakat dan fidyah untuk tahun ini disampaikan kepada 17 mukim masjid bandar dan jajahan di seluruh negeri ini.

Sumbangan itu akan diagihkan kepada para penerima bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya