ADUN janji banjir Taman Pengkalan Indah selesai - Utusan Malaysia

ADUN janji banjir Taman Pengkalan Indah selesai

NGWE Hee Sem meninjau longkang yang tersumbat menjadi punca banjir di Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Masalah sistem perparitan yang menghantui kira-kira 3,000 penduduk serta menjadi punca banjir kilat sejak lebih 10 tahun lalu di sekitar Taman Pengkalan Indah dekat sini, dijangka dapat diatasi tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, beliau mengakui masalah perparitan itu sudah lama membelenggu penduduk, walaupun beberapa wakil rakyat kawasan telah bertukar ganti.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, paling merisaukan apabila setiap kali hujan lebat, banjir kilat pasti berlaku hingga air memasuki rumah serta merosakkan pelbagai barangan.

“Sudah tiga penggal ADUN yang dipilih di sini tidak selesaikan masalah sistem perparitan yang menyebabkan sering berlaku banjir kilat. Sewaktu saya berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, saya juga kena marah dengan penduduk sebab masalah sistem perparitan rumah mereka sering dinaiki air akibat banjir kilat.

“Oleh itu, saya datang meninjau dan melihat sendiri bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) serta mendapati, banyak longkang-longkang di taman ini sudah rosak perlu dibaiki segera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan serta meninjau sistem perparitan di Taman Pengkalan Indah di sini.

Hee Sem berkata, masalah yang berlaku juga berpunca apabila kontraktor yang dilantik SWM tidak menyelenggara sampah sarap, termasuk membersihkan longkang-longkang di taman tersebut.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Melaka, Khairul Adha Abdul Mutalib mengakui, kontraktor yang dilantik tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sepatutnya dan oleh itu, SWM telah mengambil alih penyelenggaraan pembersihan longkang di seluruh taman tersebut.

“Dalam tiga hari ini SWM melaksanakan operasi pembersihan dan melihat mungkin struktur longkang rosak dan menjadi punca banjir kilat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN