PETALING JAYA: Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Abdul Hadi Awang kesal apabila hanya segelintir pemimpin negara Islam yang berani membuat kenyataan yang tegas susulan perbuatan keji tentera Zionis yang menceroboh Al-Quds baru-baru ini.
Presiden Pas itu berkata, ini kerana kaum Zionis itu sepatutnya tidak berhak menegakkan negaranya di bumi Palestin kerana kedatangan mereka sebagai penceroboh ke tanah suci umat Islam yang diamanahkan mempertahankannya.
Justeru, katanya, negara yang dibentuk itu haram dan tidak layak dinormalisasikan dengan apa-apa cara dan helah sekalipun.
“Kita pernah menyaksikan adanya kesedaran dalam kalangan umat Islam, apabila berlaku pembakaran Masjid al-Aqsa oleh seorang fanatik Yahudi pada tahun 1969 setelah berlangsung Sidang Kemuncak Negara Islam di Maghribi (Morocco) dan rentetan selepas itu ditubuhkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah pada 25 September 1969.
“Malangnya, pada akhir-akhir ini hanya tinggal segelintir sahaja pemimpin negara Islam yang berani membuat kenyataan yang tegas dengan mengajak umat Islam bersatu dan bersedia menentang Zionis yang zalim itu.
“Namun, kalangan rakyat umat Islam di seluruh pelosok dunia hari ini sudah mula menunjukkan semangat yang tinggi berkobar-kobar. Hal ini menandakan adanya kemanisan iman dalam diri mereka dan sifat persaudaraan Islam yang telah dinyatakan oleh Rasulullah,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu menyeru umat Islam untuk mempertahankan al-Quds yang sentiasa diceroboh itu.
Katanya, ini kerana kota al-Quds adalah tanah suci ketiga bagi umat Islam yang menjadi kiblat pertama sebelum diubah ke arah Kaabah di Makkah dan juga merupakan bumi para anbiya’.
“Tanah suci itu menjadi tempat pilihan berlakunya Isra’ dan Mi‘raj, di mana Rasulullah menjadi tetamu Allah pada malam yang paling bersejarah, serta menjadi imam sembahyang secara berjamaah bersama para anbiya’ ketika itu.
“Semua perkara tersebut menunjukkan dalil kekuasaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad kepada seluruh alam. Bumi Palestin yang mengelilinginya juga diberkati Allah sebagaimana yang ditegaskan oleh nas al-Quran,” jelasnya. – UTUSAN










