BANDAR BAHARU: Seramai 96 tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau dekat sini, kelmarin masih belum dijumpai setakat pukul 6 pagi ini.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, ketika ini pelbagai tindakan giat diambil bagi mengesan kedudukan mereka.
Menurutnya, hampir 80 peratus tahanan yang belum diitemukan itu adalah individu lelaki dewasa.
“Setakat pukul 6 pagi ini, individu dewasa yang masih bebas terdiri daripada 76 lelaki dan sembilan wanita.
“Selain itu terdapat empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan yang belum dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, daripada keseluruhan 528 tahanan yang meloloskan diri kelmarin, seramai 432 individu ditahan semula setakat hari ini.
Jelasnya, jumlah keseluruhan tahanan etnik Rohingya di depot itu pula seramai 664 orang.
Menurutnya, mereka yang ditahan semula itu terdiri daripada 218 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan.
“Setakat ini, 23 tahanan terdiri daripada 19 lelaki dewasa dan empat kanak-kanak lelaki masih berada di Depot Imigresen Sementara Relau.
“Seramai 448 orang lain pula dipindahkan ke beberapa depot imigresen lain antaranya Semenyih di Selangor, Langkap di Perak, Machap Umboo di Melaka dan Depoh Bukit Jalil di Selangor,” katanya. – UTUSAN










