TUMPAT: Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus anggota dan pegawainya terus bertugas sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.
Sehubungan itu kata Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat, hanya 10 peratus atau 458 pegawai dan 3,337 anggota di seluruh negeri ini dapat bercuti pada 1 Syawal kelak.
Menurutnya, pembahagian cuti semua pegawai dan anggota terbabit telah dibuat mengikut dua kumpulan, iaitu sama ada bercuti sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Pada tahun ini, kita membuat sistem penggiliran dengan kira-kira 10 peratus pegawai dan anggota polis dibenarkan bercuti pada satu-satu masa.
“Pertimbangan cuti ini selepas mengambil kira penugasan semasa Aidilfitri tahun ini tidak kritikal,” katanya kepada pemberita dalam Program Singgah Sahur Bersama Frontliner PDRM di sebuah stesen minyak di Pasir Pekan, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Shafien mengagihkan juadah bersahur kepada anggota unit kereta peronda, unit rondaan bermotosikal dan anggota ronda cegah jenayah.
Shafien berkata, anggota polis trafik bagaimanapun tidak dibenarkan bercuti pada tahun ini kerana perlu menjalankan tugas penguatkuasaan trafik sepanjang sambutan Aidilfitri. – UTUSAN










