MELAKA: Lebih 70,000 pengunjung menyerbu Bazar Aidilfitri Mega Klebang dekat sini pada malam kelmarin, sekali gus mencatat jumlah tertinggi kunjungan sejak dibuka 1 Ramadan lalu.
Penganjur, Rasydan Zahier berkata, kehadiran luar biasa itu sangat mengejutkan dan antara sebab ia dipenuhi orang ramai adalah kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) menjelang sambutan Syawal.
Beliau berkata, selain penduduk tempatan, bazar turut dikunjungi mereka yang datang dari Singapura, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“Kunjungan orang ramai sangat luar biasa tidak seperti cuti hujung minggu sebelum ini. Dianggarkan lebih 70,000 pengunjung menyerbu bazar ini selepas berbuka puasa sehingga pukul 2 pagi.
“Kesesakan dengan orang ramai berhimpit-himpit tanpa mempedulikan SOP yang ditetapkan, sehingga kami tidak dapat mengawal limpahan pengunjung di luar jangkaan.
“Mungkin kehadiran ramai pengunjung, ada yang sudah dapat gaji selain mereka yang telah diluluskan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP),” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Rasydan menambah, kemeriahan bazar berkenaan juga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas paling teruk, iaitu sejauh lima kilometer di tiga jalan utama iaitu Jalan Lama, Laluan Pantai dan dari Pulau Gadong.
“Kesesakan lalu lintas itu bermula sejak pukul 8.30 malam sehingga pukul 10 malam.
“Ada pengunjung terpaksa meletakkan kenderaan mereka sejauh satu kilometer kerana ruang parkir berhampiran bazar berkenaan sudah penuh,” jelasnya. – UTUSAN










