70 set bubu naga dirampas Maritim Malaysia Pulau Pinang - Utusan Malaysia

70 set bubu naga dirampas Maritim Malaysia Pulau Pinang

MARITIM Malaysia Pulau Pinang merampas 70 set bubu naga di lima lokasi berbeza di kedudukan 2.2 kilometer hingga 4.2 kilometer barat laut perairan Sungai Udang, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 70 set bubu naga di lima lokasi berbeza di kedudukan 2.2 kilometer hingga 4.2 kilometer barat laut perairan Sungai Udang, semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, operasi itu dijalankan sekitar pukul 2.20 hingga 3 petang semalam.

”Ini adalah rampasan kedua yang dilakukan oleh pasukan operasi semasa rondaan rutin operasi bersepadu Op Pertiwi/ Benteng Laut. Sebelum ini pasukan operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang telah merampas 28 set bubu naga di perairan Batu Kawan malam semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemantauan berterusan yang dilakukan pasukan operasi Maritim Pulau Pinang petang semalam mengesan beberapa pelampung yang mencurigakan di lima lokasi dan menemukan 70 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab. 

”Kesemua bubu naga tersebut dirampas dengan anggaran nilai RM8,400 dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut. Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya.

Tambahnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jelas beliau, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN