6,186 keluarga terjejas banjir terima wang ihsan kerajaan NS

6,186 keluarga terjejas banjir terima wang ihsan kerajaan NS

AMINUDDIN Harun menjawab soalan dalam sesi pertanyaan dan jawapan lisan hari pertama Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sejumlah 6,186 buah keluarga yang terjejas banjir bermula pada hujung tahun 2021 di Negeri Sembilan telah menerima sebanyak RM1,000 iaitu wang ihsan yang disumbangkan kerajaan negeri setakat bulan Mac lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, menerusi sumbangan tersebut, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6.186 juta dan ia telah disalurkan Pusat Khidmat DUN kawasan yang terlibat. 

“Kerajaan negeri juga turut memberikan bantuan pengecualian fi bayaran cetak semula geran tanah termasuk fi carian rasmi, fi pendaftaran surat akuan, fi pendaftaran hak milik hilang, fi notis dan sijil nikah yang diperoleh di Negeri Sembilan.

“Sumbangan sebanyak RM1,000 turut diberikan kepada 491 penternak, peladang dan pengusaha sayur yang terlibat dalam agromakanan,” katanya ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (PH-Chennah) dalam sesi pertanyaan dan jawapan lisan hari pertama Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini hari ini.

Siew Fook menerusi soalannya bertanyakan apakah langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan negeri dalam proses pemulihan pascabanjir besar yang melanda Negeri Sembilan pada bulan Disember 2021 yang lalu.

Sementara itu, Aminuddin (PH-Sikamat) berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk baik pulih rumah dan infrastruktur akibat bencana berkenaan.

“Peruntukan sebanyak RM5 juta untuk kerja-kerja darurat baik pulih jalan dan jambatan rosak dan RM0.7 juta telah diberikan bagi bantuan keperluan asas seperti pakaian dan makanan.

“RM300 ribu telah dibelanjakan bagi kerja-kerja pembersihan di empat buah daerah yang terlibat banjir. Tindakan pemulihan pascabanjir melibatkan enam buah daerah telah dilaksanakan selepas keadaan mengizinkan berupa gotong-royong pembersihan dan pemulihan kawasan terkesan akibat banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN